SHAH ALAM, 7 Ogos (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad kebangsaan,  Datuk K. Rajagobal berkata perlawanan persahabatan malam tadi yang menyaksikan  skuadnya kalah 0-1 kepada pasukan Selangor adalah bagi mencari kombinasi terbaik  antara pemain lama dan baru.
"Saya beri peluang kepada pemain lama dan  beberapa muka baru untuk lihat keserasian mereka. Dari perlawanan ini saya akan  pilih pemain sama ada untuk kekalkan mereka dalam pasukan atau tidak," katanya  selepas perlawanan itu yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Beliau  berkata ketiadaan beberapa pemain utama menjejaskan rentak permainan pasukan  kebangsaan.
Tujuh pemain skuad kebangsaan sedang menjalani latihan dan  perlawanan persahabatan bersama skuad Olimpik di Slovakia.
Mengulas  mengenai aksi beberapa pemain yang dipanggil untuk menyarung skuad kebangsaan,  Rajagobal berkata ada di antara pemain tersebut beraksi dengan baik tetapi ada  juga yang masih tidak menepati standard untuk mewakili pasukan  negara.
"Mohd Khyril Muhymeen dan Mohd Farizal Marlias menampilkan aksi  yang baik pada perlawanan ini. Saya berharap mereka dapat meneruskan persembahan  sebegini," katanya.
Beliau berkata beliau akan menggunakan aksi Piala  Malaysia yang akan bermula bulan depan untuk melihat potensi baru dan memanggil  pemain untuk memperkuatkan pasukan Malaysia.
Sementara itu ketua pasukan,  Safiq Rahim berkata Harimau Malaya masih lagi dalam proses memperkuatkan pasukan  dan berharap dapat belajar sesuatu daripada kekalahan kepada  Selangor
"Taktikal Selangor menjadi malam ini, manakala pasukan  kebangsaan masih mencari kombinasi baru. Banyak lagi kelemahan perlu dibaiki  dalam pasukan," katanya.
Bagi pemain Terengganu, Joseph Kalang Tie antara  muka baru yang dipanggil menyertai perlawanan persahabatan itu, perlawanan itu  merupakan satu permulaaan baik kepadanya namun masih banyak yang perlu beliau  pelajari untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama skuad  kebangsaan.
-- BERNAMA
Monday, 8 August 2011
Malu: Harimau Malaya Kalah Kepada Selangor
KALAH!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)



No comments:
Post a Comment